Tuesday, December 18, 2012

Ummu Nidhal : Kisah Muslimah Palestin

UMMU NIDHAL : KISAH MUSLIMAH PALESTIN
Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Baitul Muslim
Published on 30 November 2012 Hits: 1273
Print
Maryam Muhammad Yusuf Farhaat dikenali sebagai Ummu Nidhal. Beliau dilahirkan di Gaza pada 24 September tahun 1949. Dikurniakan enam orang cahaya mata, beliau adalah Ummu Syuhada dan telah melakar sejarah sebagaimana yang telah dilakarkan oleh Khaulah binti Al Azur, Khansa', Nusaibah binti Ka'ab, Ummu Saad bin Muaz dan seumpamanya. Beliau sentiasa menyeru kaum wanita, pemuda-pemudi, rakyat Palestin dan Muslimin seluruhnya agar berjihad dan berharap Allah Taala mengurniakan ke semua anak-anaknya mati syahid mempertahankan agama-Nya.

Nama samaran yang diberikan kepada beliau, "Ummu Nidhal" telah membangkitkan beberapa dekad-panjang perjuangan wanita Islam Palestin untuk mempamerkan satu contoh pengorbanan, iaitu pengorbanan hasil jalan jihad putera-puterinya mempertahankan maruah tanahair.

Kemunculan Ummu Nidhal bermula sejak meletusnya intifadah Al Aqsa pada tahun 2000 yang dilancarkan oleh Sheikh Ahmed Yassin. Seruan jihad Ummu Nidhal ini bukan hanya fasih dibibir, bukan hanya bertinta di lembaran kertas, tetapi dibuktikan dengan penyertaan jihad tiga orang anaknya yang telah syahid satu demi satu, iaitu Muhammad Farhaat, syahid pada tahun 2002, Nidhal Farhaat, syahid pada tahun Februari 2003 dan anak bongsunya Rawad Farhaat yang syahid pada tahun 2005. Seorang lagi anak beliau, Wisam Farhaat masih mendekam di dalam penjara Israel.

Ummu Nidhal tidak terkejut menerima berita kematian anak-anaknya bahkan beliau bersedia menyerahkan semua anak-anaknya untuk mati syahid. Beliau pernah berkata ketika diwawancara oleh pemberita tentang pemergian anaknya, "Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya. Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah syurga".

Ummu Nidal menghantar 3 orang anak lelakinya ke medan perang dan gembira atas kesyahidan mereka, bahkan menangis bila memikirkan tiba masanya nanti sudah tiada lagi anak untuk dihantar ke medan perang. Ummu Nidal bukan seperti ibu-ibu yang lain, yang jauh hati bila anak sudah jarang balik melawat, yang sedih bila anak-anak tidak menghulurkan wang, yang merajuk hati bila anak sibuk memikirkan kerjaya sahaja. Di hati Ummu Nidal tidak ada 'kebiasaan' itu semua. Dia tidak peduli apakah dia tidak akan bertemu lagi dengan anak-anaknya buat selama-lamanya. Malah rela menanggung kepiluan hati seorang ibu demi mempertahankan bumi yang diberkati Allah Taala dari terus dijajah oleh Rejim Zionis.

Bertitik tolak dari hal itu nama Ummu Nidhal Farhaat disebut-sebut sebagai Khansa' Palestin. Nama Khansa', diambil dari nama Sohabiyyah yang terkenal dengan kesabaran dan keteguhannya di zaman Rasulullah S.A.W kerana seluruh anak-anaknya gugur di medan jihad bersama Baginda S.A.W. Dan bagi Ummu Nidhal, apapun yang dilakukannya ini adalah demi memenuhi ruang perjuangan mengusir penjajah dan mempertahankan Palestin.
Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal berbunyi, "Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan (mengatasi perasaan sedih tersebut", katanya.

Beliau (Ummu Nidhal) sering bercerita, bagaimana dirinya merasa terpanggil untuk melindungi anak bangsa yang sering diburu oleh tentara Zionis Israel.
"Saya sering mendengar teriakan anak-anak Palestin yang diburu oleh rejim Zionis. Suasana tidak aman sering melanda di tempat tinggal kita. Lalu saya mengambil inisiatif untuk melindungi generasi ini dari kerakusan musuh tanahair mereka. Saya meminta puteraku yang paling sulong untuk menggali lubang di belakang rumah supaya dapat dijadikan bunker para pejuang mujahidin, Bridged Al Qassam. Saya lakukan ini, agar Allah memuliakan kami sekeluarga sebagai pejuang di jalan-Nya.

"Ketika anakku yang sulong, Muhammad Fathi Farhat menginjak usia enam tahun, saya telah katakan kepadanya; Ibu mahu kamu berperang melawan Israel dengan senjata, bukan dengan batu. Tanpa sedikitpun keraguan, kebimbangan dalam hati saat itu mengarahkan anak ke medan juang demi mengusir penjajah. Kerana saya yakin apa yang saya ungkapkan itu adalah demi kebaikan untuk anak-anak saya.

"Saya sampaikan kepadanya, agar tiada informasi jihad para pemuda Palestin yang dirahsiakan dari pengetahuan saya, saya memantau pergerakannya dan agar kemudiaannya saya boleh memotivasikan mereka dan memberikan mereka semangat.
"Tiada khabar yang paling mengembirakan buat saya, apabila puteraku mula menyampaikan berita bahawa dia telah bergabung bersama Briged Al Qassam, sayap pejuang Hamas, dan sedang bersiap menyongsong amanah syahid dalam sebuah medan peperangan. Allah telah mengabulkan hasrat dan cita-cita saya."

Begitupun deras kalimah yang diungkapkan oleh Ummu Nidhal untuk membangkitkan semangat perjuangan pemuda-pemudi Palestin, namun beliau sebenarnya tidak mampu memungkiri kehalusan hatinya yang sarat dengan naluri keibuan. Saat perpisahannya dengan putera sulongnya, Farhat, dia dan anaknya itu saling berpelukan kemudian berkata, "Ibu tidak dapat membendung air mata, tetapi jangan percaya dengan air mata ibu ini nak... Ini adalah air mata bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari. Pergilah menemui Rabb-Mu dan berjihadlah. Tetaplah hatimu thabatlah, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu Allah Taala."

No comments:

Post a Comment

Di antara koleksi buku motivasi santai yang diminati.