Tuesday, December 18, 2012

Derita Dalam Dakwah

Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Manhaj Dakwah
   

Ketika menusia berada dalam jurang kesesatan yang sangat jauh, ketika itulah pula Nabi Ibrahim A.S diutus oleh Allah Taala, Tuhan sekalian alam. Tugas utama Baginda Ibrahim adalah mengajak kaumnya kepada kebenaran, Baginda menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Baginda mengajak kaum mentauhidkan Allah, tetapi kaumnya menolak ajakan Baginda yang didakwa disampaikan dengan cara seruan yang sangat keras, tidak boleh diterima. Bahkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke ke dalam unggun api yang besar untuk membinasakannya.
Setelah kenabian Nabi Ibrahim A.S berakhir, umat semakin lama semakin bertambah menyimpang dari jalan yang lurus. Mereka kembali mengagungkan dan menyembah patung-patung, serta mereka lebih condong kepada kehidupan duniawi dan segala sesuatu yagn bersifat materialistik.

Ketika manusia sedang berada dalam puncak kesesatan yagn jauh, maka di saat itulah Allah Taala mengutus Nabi Musa A.S di Mesir. Saat itu jiwa penduduk Mesir telah membatu, bahkan perasaan lebih keras dari batu. Nabi Musa A.S berusaha mengajak mereka ke jalan yang lurus. Nabi Musa A.S menegakkan tugas suci seorang Rasul, amar ma'ruf nahi mungkar. Beliau dan Nabi Harun A.S, saudara Baginda yang turut bersamanya mengajak manusia ke jalan yang lurus dengan susah payah dan penuh dengan tentangan serta penderitaan. Kedua-dua utusan Allah itu, terus bersabar saat menyampaikan risalah kenabian yang dibebankan di bahu-bahu mereka.

Tugas amar ma'ruf nahi mungkar bukanlah perkara yagn mudah. Tidak sedikit Para Nabi dan Rasul yang terbunuh, ketika mengajak kaumnya menurut manhaj dakwah itu. Tubuh Nabi Zakaria A.S pernah diancam dan dibelah menjadi dua menggunakan gergaji besi, kerana menanggung risalah yang mesti disampaikan. Demikian pula halnya dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa A.S, kedua-dua jiwa manusia mulia ini diancam bunuh, ketika mengajak kaum-kaumnya menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.

Meskipun demikian, tentangan yang dihadapi Nabi Muhammad S.A.W dari kaum Baginda sendiri lebih berat dan dahsyat, sehingga Baginda S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah R.A (maksudnya), "Aku telah menerima tentangan dan ancaman dari kaummu dengan sangat keras" (Sahih Buhkhari)

Sikap kecewa akibat permusuhan yang mesti dihadapi oleh Para Nabi dan Rasul itu juga harus dihadapi oleh para da'ie yang mengajak umat masing-masing ke jalan Allah Taala. Pendakwah yang menyangka bahawa seruannya hari berjaya merupakan pendakwah yang tidak menepati sunnah-sunnah yang pernah dilalui oleh masyayeikh para pendakwah, iaitu Para Nabi dan Rasul.
Tugas dakwah sebenarnya berat dan mencabar. Pendakwah yang melalui denai-denai perjuangan yang diwarisi oleh Para Nabi dan Rasul tentunya juga akan mengungkapkan perkataan seumpama ini, "Selama lapan puluh tahun lebih usaha seruan dakwahku, belum pernah aku merasakan manisnya dunia. Sebab aku menghabiskan usiaku di medan peperangan dan penjara, baik di dalam mahupun di luar negeri. Tidak ada satu penderitaan pun berupa seksaan yagn belum pernah aku alami. Bahkan aku pernah diperlakukan sebagai penjahat perang di dalam negeriku sendiri.
"Aku juga pernah dibuang di pelbagai negara sebagai pembelot, dan aku pernah dilarang bergaul dengan orang lain (diasingkan) selama berbulan-bulan di dalam penjara khusus di negeriku sendiri. Aku pernah diracun berulangkali, dan dihinakan dengan pelbagai hinaan yang kejian. Sampai muncul satu waktu aku lebih banyak berharap kematian daripada hidup yang terus-menerus terseksa. Andaikata agamaku tidak melarangku melakukan bunuh diri, pasti aku sudah membunuh diriku sendiri. Sebab, kematian bagiku pada waktu itu, lebih aku sukai daripada kehidupan yang penuh dengan seksaan dan penderitaan".

Ungkapan yang tergambar jelas menunjukkan suatu bentuk keluhan dan kekecewaan perasaan yang keluar dari seorang yang jiwanya hampa, terkilan dan kecewa disebabkan oleh tentangan masyarakat sekililing ketika dia mengajak mereka menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Begitulah juga lebih beratnya tugas dakwah yang dijalankan Para Nabi dan Rasul, sejak Nabi Adam A.S sampai kepada Rasulullah S.A.W. Tugas menegakkan dakwah, dan amar ma'ruf nahi mungkar sangat berat, dan memerlukan jiwa-jiwa yang sangat ikhlas dan sabar. Sanggup menanggung beban yang amat berat.

Perlu diketahui bahawa, sesiapa sahaja yang merelakan dirinya untuk mengembangkan tugas suci ini, hendaklah dia sentiasa menjaga diri untuk tetap bersikap istiqomah (konsisten). Sebab tugas suci ini memerlukan peribadi-peribadi yang teguh dan istiqomah dalam menjalankan tugasnya. Bukan orang-orang yang mencari kehidupan dunia, menukar ayat dengan kehidupan dunia, jawatan dan harta yang sangat sedikit itu di sisi Allah Taala. Dengan kata lain, setiap Mukmin sebenarnya mendapatkan tugas untuk memenuhi kewajiban yang utama ini, menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, agar keimanan di sanubari masing-masing terpelihara. Ini kerana, kaitan amalan yang dimaksudkan dengan keimanan seorang hamba sangatlah erat. Setiap individu atau pun kelompok tidak akan pernah kekal kesetiaannya terhadap perintah-perintah agama, kecuali jika ia bersedia menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.

Sesungguhnya rahsia keberadaan seorang Mukmin dan syarat kekalnya ia sebagai seorang Mukmin adalah menjalankan perintah untuk menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran. Seorang Mukmin tidak boleh mendiamkan kejahatan yang nyata terjadi. Seorang Mukmin juga tidak seharusnya menilai kehidupan peribadinya terlebih dahulu berbanding dari kematian atau kerosakan umatnya.

Setiap Mukmin harus menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar seperti yang pernah dilakukan oleh Para Sahabat, dan mereka menganggap tugas amar ma'ruf nahi mungkar menjadi tugas yang sangat mulia. Sebab itulah setiap Sahabat Nabi tidak pernah dalam hidup mereka berhenti sesaat pun untuk menengakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Setiap Mukmin hendaknya selalu menyandarkan dirinya kepada Allah Taala dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, serta memohon perlindungan kepada Allah Taala, saat menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar di tengah-tengah umat.

Hendaknya setiap Mukmin sentiasa mengorbankan segala apa yang menjadi miliknya untuk menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Sebab, amalan ini membentuk kehidupan tersendiri bagi kualiti diri seorang Mukmin. Setiap Mukmin yang menjadikan iman dan dakwah sebagai sumber amalan di dalam hidupnya, maka ia termasuk seorang yang menjaga lima perkara berikut : "Agama, akal, keturunan, harta dan nyawa".

Di zaman kini, untaian kata para pendakwah tidak ada lagi "atsar-nya" (kesannya) kepada manusia, ibaratnya seperti membuang garam di tengah laut. Di kaca-kaca media, di tengah-tengah majlis ta'alim, dan pelbagai forum, kata-kata pendakwah seperti tiada bekasnya. Sia-sia. Seperti suara di tengah padang pasir. Ini disebabkan para pendakwah seumpama itu memiliki objektif peribadi dan kepentingan duniawi. Mereka bukan orang-orang yang ikhlas, tetapi para pengejar dunia dan menjadikan dunia tambatan kehidupan mereka. Mereka menggunakan agama sebagai kuda "tunggangan" untuk mendapatkan dunia.

Tidak hairan umat semakin jauh dari hidayah agama (Islam). Sementara itu, kesesatan, kederhakaan, kemaksiatan, serta pelbagai ragam dosa terus bertambah. Kerana pendakwah bukan terdiri dari orang-orang yang ingin menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, tidak ke kiri mahupun ke kanan (tiada pendirian yang teguh menegakkan kebenaran), tetapi berdiri di tengah-tengah manusia demi menegakkan mahligai bagi dirinya sendiri. Wallahu'alam.

Jangan Merajuk Wahai Daie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.
Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.
Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.
Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati
Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah Baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya
Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim
 
Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Manhaj Dakwah

Ummu Nidhal : Kisah Muslimah Palestin

UMMU NIDHAL : KISAH MUSLIMAH PALESTIN
Written by Akademi Tarbiyah DPPM Category: Baitul Muslim
Published on 30 November 2012 Hits: 1273
Print
Maryam Muhammad Yusuf Farhaat dikenali sebagai Ummu Nidhal. Beliau dilahirkan di Gaza pada 24 September tahun 1949. Dikurniakan enam orang cahaya mata, beliau adalah Ummu Syuhada dan telah melakar sejarah sebagaimana yang telah dilakarkan oleh Khaulah binti Al Azur, Khansa', Nusaibah binti Ka'ab, Ummu Saad bin Muaz dan seumpamanya. Beliau sentiasa menyeru kaum wanita, pemuda-pemudi, rakyat Palestin dan Muslimin seluruhnya agar berjihad dan berharap Allah Taala mengurniakan ke semua anak-anaknya mati syahid mempertahankan agama-Nya.

Nama samaran yang diberikan kepada beliau, "Ummu Nidhal" telah membangkitkan beberapa dekad-panjang perjuangan wanita Islam Palestin untuk mempamerkan satu contoh pengorbanan, iaitu pengorbanan hasil jalan jihad putera-puterinya mempertahankan maruah tanahair.

Kemunculan Ummu Nidhal bermula sejak meletusnya intifadah Al Aqsa pada tahun 2000 yang dilancarkan oleh Sheikh Ahmed Yassin. Seruan jihad Ummu Nidhal ini bukan hanya fasih dibibir, bukan hanya bertinta di lembaran kertas, tetapi dibuktikan dengan penyertaan jihad tiga orang anaknya yang telah syahid satu demi satu, iaitu Muhammad Farhaat, syahid pada tahun 2002, Nidhal Farhaat, syahid pada tahun Februari 2003 dan anak bongsunya Rawad Farhaat yang syahid pada tahun 2005. Seorang lagi anak beliau, Wisam Farhaat masih mendekam di dalam penjara Israel.

Ummu Nidhal tidak terkejut menerima berita kematian anak-anaknya bahkan beliau bersedia menyerahkan semua anak-anaknya untuk mati syahid. Beliau pernah berkata ketika diwawancara oleh pemberita tentang pemergian anaknya, "Anak saya telah syahid. Dia yang akan menolong saya dengan kesyahidannya. Sesiapa yang menyayangi anak-anaknya berikanlah sesuatu yang paling berharga semampunya. Dan perkara paling berharga yang boleh diberikan ialah syurga".

Ummu Nidal menghantar 3 orang anak lelakinya ke medan perang dan gembira atas kesyahidan mereka, bahkan menangis bila memikirkan tiba masanya nanti sudah tiada lagi anak untuk dihantar ke medan perang. Ummu Nidal bukan seperti ibu-ibu yang lain, yang jauh hati bila anak sudah jarang balik melawat, yang sedih bila anak-anak tidak menghulurkan wang, yang merajuk hati bila anak sibuk memikirkan kerjaya sahaja. Di hati Ummu Nidal tidak ada 'kebiasaan' itu semua. Dia tidak peduli apakah dia tidak akan bertemu lagi dengan anak-anaknya buat selama-lamanya. Malah rela menanggung kepiluan hati seorang ibu demi mempertahankan bumi yang diberkati Allah Taala dari terus dijajah oleh Rejim Zionis.

Bertitik tolak dari hal itu nama Ummu Nidhal Farhaat disebut-sebut sebagai Khansa' Palestin. Nama Khansa', diambil dari nama Sohabiyyah yang terkenal dengan kesabaran dan keteguhannya di zaman Rasulullah S.A.W kerana seluruh anak-anaknya gugur di medan jihad bersama Baginda S.A.W. Dan bagi Ummu Nidhal, apapun yang dilakukannya ini adalah demi memenuhi ruang perjuangan mengusir penjajah dan mempertahankan Palestin.
Antara perkataan yang sering diungkapkan oleh Ummu Nidhal berbunyi, "Kematian adalah suatu perkara yang menyedihkan, tetapi jangan bimbang kerana bertemu dengan Allah, adalah suatu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan (mengatasi perasaan sedih tersebut", katanya.

Beliau (Ummu Nidhal) sering bercerita, bagaimana dirinya merasa terpanggil untuk melindungi anak bangsa yang sering diburu oleh tentara Zionis Israel.
"Saya sering mendengar teriakan anak-anak Palestin yang diburu oleh rejim Zionis. Suasana tidak aman sering melanda di tempat tinggal kita. Lalu saya mengambil inisiatif untuk melindungi generasi ini dari kerakusan musuh tanahair mereka. Saya meminta puteraku yang paling sulong untuk menggali lubang di belakang rumah supaya dapat dijadikan bunker para pejuang mujahidin, Bridged Al Qassam. Saya lakukan ini, agar Allah memuliakan kami sekeluarga sebagai pejuang di jalan-Nya.

"Ketika anakku yang sulong, Muhammad Fathi Farhat menginjak usia enam tahun, saya telah katakan kepadanya; Ibu mahu kamu berperang melawan Israel dengan senjata, bukan dengan batu. Tanpa sedikitpun keraguan, kebimbangan dalam hati saat itu mengarahkan anak ke medan juang demi mengusir penjajah. Kerana saya yakin apa yang saya ungkapkan itu adalah demi kebaikan untuk anak-anak saya.

"Saya sampaikan kepadanya, agar tiada informasi jihad para pemuda Palestin yang dirahsiakan dari pengetahuan saya, saya memantau pergerakannya dan agar kemudiaannya saya boleh memotivasikan mereka dan memberikan mereka semangat.
"Tiada khabar yang paling mengembirakan buat saya, apabila puteraku mula menyampaikan berita bahawa dia telah bergabung bersama Briged Al Qassam, sayap pejuang Hamas, dan sedang bersiap menyongsong amanah syahid dalam sebuah medan peperangan. Allah telah mengabulkan hasrat dan cita-cita saya."

Begitupun deras kalimah yang diungkapkan oleh Ummu Nidhal untuk membangkitkan semangat perjuangan pemuda-pemudi Palestin, namun beliau sebenarnya tidak mampu memungkiri kehalusan hatinya yang sarat dengan naluri keibuan. Saat perpisahannya dengan putera sulongnya, Farhat, dia dan anaknya itu saling berpelukan kemudian berkata, "Ibu tidak dapat membendung air mata, tetapi jangan percaya dengan air mata ibu ini nak... Ini adalah air mata bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari. Pergilah menemui Rabb-Mu dan berjihadlah. Tetaplah hatimu thabatlah, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu Allah Taala."

Zikir yang paling mulia


Friday, June 15, 2012

masa

Masih mencari masa untuk menulis... masa terlalu terhad buatku yang bergelar isteri, ibu dan wanita yang bekerja..masih belum berjaya dalam memperuntukkan masa sebaik mungkin. keletihan sering memperdayakan diri lalu rebah terus melelapkan mata untuk seketika malah dalam jangka masa yang agak lama... namunaku tetap tak patah semangat untuk terus mencuba memperuntukkan masa untuk bidang ini... PENULISAN.  Ya Allah permudahkanlah urusan hambaMU ini...

Friday, May 25, 2012

sudah lama tangan tidak digerakkan untukk menulis entri di dalam blog ini. terasa tumpul sekejap 'pena' kerana sudah lama tidak asah dengan penulisan... Ya Allah bantulah hambaMu ini untuk terus setia dalam menyebarluaskan dakwah ...

Thursday, January 5, 2012

Rumahtangga dan Wanita

Wanita dan rumahtangga adalah suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan. sehebatmana pun wanita itu dalam kerjayanya, semoden mana pun dia, dia tetap tidak dapat lari dengan rumahtangga... suami dan anak-anak.

Pembentukan rumahtangga banyak dipengaruhi oleh wanita. wanita pula membentuk rumahtangga mengikut bagaimana acuan yang diterimanya dari keluarga, bagaimana didikan ibu ayah dan suasana rumahtangga ibu ayahnya.

...............

Di antara koleksi buku motivasi santai yang diminati.