Thursday, February 17, 2011

Kewajipan berdakwah

Soalan ; Saya dengar ada ulama2 mengatakan setiap umat manusia akhir zaman wajib menjalankan usaha dakwah sebab kita umat akhir zaman

dan kita berdosa kalau kita meninggalkan usaha yang dibuat oleh nabi s.a.w. Sila ustaz jelaskan.

Jawapan;

Terlalu banyak ayat-ayat Allah di dalam al-Quran yang menekankan tentang dakwah, sama ada secara khusus atau yang terkandung dalam kewajipan jihad dan amar makruf nahi munkar. Oleh demikian, kewajipan berdakwah tidaklah siapa dapat nafikan. Melalui dakwah, Islam dapat berkembang dan berlansung hingga ke zaman ini iaitu setelah 1400 tahun lebih selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Cuma, dalam melaksanakan dakwah, tidak semua mampu melakukannnya secara lansung kerana dakwah perlukan ilmu. Oleh demikian, jika kita tidak berupaya menjadi pendakwah, kita hendaklah menjadi pendokong dakwah atau pendokong gerakan dakwah yang dipimpin oleh para ulamak yang berdakwah. Dakwah akan lebih berkesan jika di laksanakan secara berjamaah. Kerana itu di seluruh pelusuk dunia hari ini,para ulamak mengasaskan jamaah Islam atau gerakan Islam untuk menggembeling tenaga umat Islam di medan dakwah dan jihad.

Wallahu A’lam.

POLITIK


Soalan : Assalamualaikum ustaz.Saya ada beberapa kemuskilan berkaitan politik.Saya harap penjelasan dari ustaz.

1. Apakah ada ajaran politik di dalam al-quran dan as-sunnah?
2. Apa hukum orang yang berkata; ”politik suku, agama suku”?
3. Kenapakah perlu kuasa politik untuk melaksanakan syariat allah?
4. Benarkah allah memerintahkan nabi muhammad s..a.w. supaya berdoa memohon kuasa politik?

Sekian,terima kasih.

Jawapan :

1.APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?

Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.

2.APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?

Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

3.KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?

Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.

4.BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?

Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)

Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)

NAFKAH ISTERI DAN IBU-BAPA; MANA YANG DIDAHULUKAN?

Soalan; Akum. Sy ada beberapa soalan.
1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kg? - Suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.
2. Bolehkah keluarga di kg terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya jg perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46). Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan

Darah Nifas



Soalan; Ustaz, saya ada satu kemusykilan berkaitan dengan tempoh nifas, saya terbaca di dalam kitab fiqh sunnah-syed sabiq(terjemahan) mengatakan maksimum 40 hari (berdasarkan hadis), sekiranya selepas tempoh tersebut jika masih ada darah maka wajib solat, tetapi ada juga yang mengatakan 60 hari..Mohon penjelasan ustaz, terima kasih.. Jawapan; Darah nifas bermakna darah kelahiran, iaitu darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas melahirkan anak. Berapa lama darah nifas ini boleh berlanjutan? Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak; 1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi). Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan orang yang sulasul-baul (yakni orang yang menghadapi penyakit kencing tak putus) dan tertakluk dengan hukum-hakam mereka sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini (sila rujuk; http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/kencing-tak-lawas.html). 2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya. Wallahu a’lam. Rujukan; 1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/251. 2. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/482-484. 3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 292. 4. Al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Quran al-‘Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 58.

Wednesday, February 16, 2011

Cloth Diapers

Alhamdulillah, semasa berpantang aku sempat membiasakan anak-anakku, kak ngah dan Atiqullah memakai CD bagi menggantikan pampers pakai buang. memang pada mulanya agak membebankan, iyalah kena cuci balik CD yang sudah dipakai.. apatah lagi jika mereka membuang air besar... agak mencabar. tetapi bila difikirkan balik, dulu-dulu mak-mak kita pun menggunakan kain lampin untuk anak-anak. jadinya... sama jer.. cuma kita kena bersabar dan rajin sikit...

mengapa aku menggunakan Cloth diapers (CD) ini?
sebab yang paling utama adalah menjimatkan kerana boleh dibasuh dan dipakai semula

alhamdulillah, memang menjimatkan.
memanglah pada mulanya aku terpaksa keluarkan duit yangagak banyak untuk membeli CD yang mencukupi agar boleh ditukar-tukar bila dibasuh... tetapi selepas itu aku tak perlu fikirkan duit yang perlu dibelanjakan setiap bulan untuk membeli pamper pakai buang lagi.

setakat ni, sudah ada 21 helai CD untuk dipakai oleh kak Ngah dan Atiqullah. baby Baihaqi belum diajar lagi, kerana aku memikirkan untuk memhabiskan stok pampers pakai buang yang masih ada...

cuma yang masih aku dok fikirkan ialah, bagaimana dengan pengasuh... boleh ke dia terima kaedah CD ni.. ..kawan2 boleh bagi idea tak?

Di antara koleksi buku motivasi santai yang diminati.