Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan
kerinduan terhadap Rasulullah SAW. Sebagai seorang yang mencintai dan
mengasihi baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah atau
lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah SAW sehingga kita semua dapat
menerima cahaya keislaman, hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat Iman
dan Islam yang sangat berharga.
Namun kita sebagai seorang
Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang
diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita?
Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW
dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung silih berganti
hingga ke hari ini?
Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran :"Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu."
[Surah Saba’ : ayat 28]
Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran Baginda SAW saban tahun.
Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW, seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.
Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Disember 2015M / 12 Rabiul Awwal 1437H
No comments:
Post a Comment